Peminat pembakar semangat Ramlah
Norhayati Nordin
norhayati_nordin@hmetro.com.my


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 6:30 AM
Sumber: hmetro

BIARPUN populariti dikecap tidak lagi seperti dahulu, namun kemantapan vokal Ramlah Ram, 55, masih hebat.
Hingga kini, kemunculan Ramlah pada setiap persembahan nyanyiannya tidak pernah menghampakan peminat.
Vokal padu dimiliki Ramlah begitu menarik perhatian kerana tidak berubah walaupun dia semakin berusia.
Bebicara perkembangan terbarunya, Ramlah berkata dia sentiasa bersemangat untuk merakamkan lagu.
Katanya, sokongan peminat yang tidak jemu menyokong kerjaya seninya selama empat dekad ini menjadi pembakar semangat.
“Untuk lagu baru, Alhamdulillah saya sudah menghasilkan satu buah tangan terbaharu dan masih segar buat peminat.
“Hampir lapan tahun tiada lagu baru, kini saya tampil pertaruhkan lagu berkisar percintaan berjudul Masar Cinta.
“Lagu bergenre pop ini, hasil ciptaan saya bersama rakan yang juga pengasas Ramlah Ram Group (RRG), Allahyarham Suzaimi Soaib. Lirik lagu pula ditulis oleh Ismie Rusli,” katanya.
Kata pemenang persembahan terbaik di Anugerah Juara Lagu 1988 itu, RRG adalah kelab peminatnya yang aktif.

“Sekitar 2012, saya pernah melancarkan album berjudul Aspirasi Hati dan ia diterbitkan oleh kelab peminat saya.
“Dalam album itu, ada memuatkan lagu Sesaat Kau Datang yang saya rakam secara kolaborasi bersama kumpulan Sleeq,” katanya.
Selain itu, menerusi RRG juga Ramlah merakamkan lagu berjudul 5 Minit yang dinyanyikan secara duet dengan Caprice.
Menurut Ramlah, dia berasa sangat bertuah kerana mendapat layanan sangat istimewa daripada kelab peminatnya.
“Kelab peminat saya memang serius dan bersungguh memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kerjaya seni saya. Alhamdulillah, terima kasih.
“Diakui, kejayaan diperoleh seseorang selebriti sudah tentu di belakang mereka ada peminat yang setia menyokong.
“Saya hanya mampu berterima kasih dan seterusnya berdoa kepada Allah untuk kebaikan kita semua. Malah, mendapat keberkatan dalam hidup ini,” katanya.
Mengulas maksud ‘masar’, Ramlah berkata ia adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud jalan atau perjalanan.
“Lagu ini dekat dengan jiwa saya kerana pembabitan dalam nyanyian kerana minat dan perjalanan yang dilalui sudah jauh.
“Terlalu banyak pengalaman, suka dan duka pernah saya hadapi sepanjang menceburi kerjaya seni ini,” katanya.
Sehubungan itu, Ramlah mengharapkan semoga lagu terbarunya, Masar Cinta diterima baik pendengar dan mendapat sambutan.
Ujarnya, dia juga mengharapkan lagu itu mendapat peluang disiarkan di radio dan mesra pendengar selain sudah dimuat naik muzik videonya di YouTube, beberapa hari lalu.