Ramlah bahagia tumpang kasih anak saudara

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
Mei 8, 2019 @ 11:00am 
rajamawar@bh.com.my 
Sumber: bharian



KUALA LUMPUR: Penyanyi bersuara lantang, Ramlah Ram mengakui, dia tidak lagi memikirkan soal 'pasangan hidup' selepas hampir sedekad bersendirian. 

Ramlah, 54, bagaimanapun, tidak menolak ketentuan takdir jika dipertemukan dengan lelaki yang boleh memberinya kebahagiaan dan berkongsi sisa hidup bersama. 

Tidak sesekali menutup pintu hati untuk kembali mendirikan rumah tangga, penyanyi kelahiran Muar, Johor, itu tidak mahu terlalu meletak harapan untuk kembali bertemu jodoh. 

“Jika diajukan persoalan jodoh pada masa sekarang, rasanya seperti tidak sesuai. Apa lagi yang patut saya harapkan pada usia 54 tahun? Bukannya cinta sudah mati, tetapi terus-terang, saya tidak lagi memikirkannya. 

“Saya hanya memikirkan sisa kehidupan, kerjaya dan keluarga. Jauh di sudut hati, saya percaya aturan Allah sudah begitu baik. Saya tidak ralat hidup tanpa pasangan dan zuriat. 

“Saya tidak pernah kecewa dengan perjalanan yang Tuhan aturkan. Semuanya ada hikmah yang tersendiri,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) itu. 

Ramlah berkata, dia tidak menolak sekiranya ditakdirkan kembali berumah tangga, namun untuk menanti jodoh dan cinta, semua itu sudah berakhir. 

“Saya tidak tersinggung apabila melihat orang lain hidup berpasangan. Saya selalu fikir Allah merancang yang terbaik buat saya. Apa yang terjadi, itu yang terbaik buat diri. 

“Mungkin ini sahaja cara untuk saya memujuk hati. Walaupun tiada suami dan anak, saya sudah lama reda dengan ketentuan Allah,” katanya. 

Juara Bintang RTM 1985 itu berkata, hidupnya tidak pernah dihambat kesunyian selama memegang status janda. 

“Alhamdulillah, saya mempunyai ramai anak saudara, selain rapat dengan keluarga. Saya percaya, ini nikmat dan pemberian Allah supaya saya tidak hidup dalam kesepian. 

“Saya memiliki 20 anak saudara untuk menumpang kasih. Mereka juga sudah seperti anak sendiri. Jadi, rasanya kehidupan saya sudah lengkap,” katanya. 

Menyentuh perkembangan kerjaya nyanyiannya, Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1989 itu berkata, dia akan muncul dengan lagu baharu, Masar Cinta ciptaan Allahyarham Suzaimi Soaib. 

“Saya akhirnya dapat meneruskan hasrat arwah yang juga bekas presiden kelab peminat, Ramlah Ram Group (RRG). Arwah insan yang banyak menabur jasa dalam hidup saya. 

“Selain berusaha mengumpul peminat dan menggerakkan RRG, arwah juga banyak berkorban untuk saya. Dia langsung tidak berkira dalam soal wang ringgit demi melihat saya aktif semula sebagai penyanyi. 

“Lagu Masar Cinta dicipta sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, tiga tahun lalu. Ini kenangan terakhir saya bersama arwah. Ketika rakaman, saya dapat rasakan arwah seperti berada di sebelah. Saya sebak mengingatkannya," katanya.